EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerima cek cura sumbangan untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin pada 31 Mei 2021. Foto: Facebook Zawawi Mughni
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tiga suri rumah serah barang kemas RM30,000 untuk tabung Palestin

SHAH ALAM, 1 JUN: Tiga suri rumah menyumbangkan barang kemas bernilai hampir RM30,000 kepada Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu penduduk Palestin yang berterusan menjadi mangsa kekejaman Israel.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni terharu dan menyifatkan tindakan individu itu memberi inspirasi serta diharap menjadi teladan kepada masyarakat.

“Saya merasa sangat terharu apabila ada suri rumah yang menyumbangkan rantai leher dan gelang emas kesayangan mereka untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin.

“Jumlah nilai barangan tersebut dianggarkan hampir RM30,000. Tindakan tiga suri rumah tersebut sangat menginspirasikan dan diharap menjadi teladan kepada semua untuk berkorban,” katanya di Facebook.

Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu acara ringkas di Pejabat EXCO, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang menyasar kutipan RM1 juta untuk membantu penduduk Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.


Pengarang :