Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin AstraZeneca yang mengutamakan OKU dan warga emas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 1 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tolak tanggapan negatif, usah takut ambil vaksin

SHAH ALAM, 20 JUN: Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan berita kurang tepat berkaitan vaksin Covid-19 sehingga bimbang untuk mengambil suntikan.

Md Salih Abd Jamil, 70, yang mendapat suntikan pelalian itu baru-baru ini berkata tiada sebab untuk takut berikutan prosesnya mudah dan lancar.

“Sebenarnya sebaran maklumat sungguh penting. Kawan-kawan saya semua tunggu giliran kerana kita ada kesedaran, kalau tiada susah sikitlah.

“Jangan takut, tiada sebab kita hendak takut. Tidak perlu komen negatif tanpa disokong fakta, jika terlalu cepat beremosi akan buat pertimbangan yang salah,” kata bekas kru penerbangan itu.

Pandangan sama dikongsikan Gurdeep Kaur, 46, yang memuji kemudahan di pusat pemberian vaksin (PPV) selain petugas yang membantu memudahkan urusan.

Vaksin jenis Sinovac yang dibekalkan oleh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) untuk diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MSU Medical Centre Shah Alam ketika tinjauan pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Suri rumah itu berkata dia tidak mengalami sebarang gejala selepas disuntik termasuk dua orang anaknya.

“Saya dengar banyak informasi yang baik berkaitan vaksin, jadi sesiapa yang belum ambil atau daftar saya galakkan mereka berbuat segera kerana Covid-19 merebak dengan cepat,” katanya.

Mohd Aiman Mohd Fauzi, 23, pula berkata orang ramai tidak perlu bimbang terhadap simptom ringan selepas mengambil suntikan kerana ia proses biasa.

“Doktor sudah pesan mungkin dalam sehari dua lepas disuntik akan rasa lenguh, demam…tetapi jangan risau kerana ini gejala biasa oleh orang yang ambil vaksin,” katanya.

Hampir 5.68 juta penduduk negara ini sudah menerima suntikan vaksin bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

Seramai 4.09 juta penduduk menerima dos pertama, manakala 1.59 juta lagi lengkap dua dos.


Pengarang :