Pelajar SMK Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti pembelajaran dalam talian di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting ketika tinjauan pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tuisyen percuma Selangor bantu pelajar raih 8A SPM

SHAH ALAM, 11 JUN: Salah seorang peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bersyukur apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, yang mengambil aliran Sains Komputer meraih 8A dan 1B dalam keputusan yang diumumkan semalam.

Menurutnya, kejayaan itu sangat bermakna selepas melalui tempoh panjang sebelum menghadapi peperiksaan susulan pandemik Covid-19 selain kesukaran memahami pembelajaran secara maya.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya sangat terkejut dengan keputusan ini memandangkan kami (pelajar SPM) terpaksa belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sudah tentu cabaran besar buat saya kerana bukan semua topik boleh diajar dalam talian serta memerlukan tunjuk ajar guru secara bersemuka,” katanya ketika dihubungi.

Anak kedua dari tiga beradik itu berkata dia banyak bergantung kepada portal pendidikan Selangor eptrs.my ketika membuat persiapan akhir untuk menduduki SPM, akhir Februari lalu.

“Saya kekurangan bahan ulang kaji kerana tidak dapat ke sekolah, jadi saya manfaatkan platform ini untuk menambah pengetahuan serta mempelajari kaedah menjawab soalan dengan mudah dan tepat.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menawarkan inisiatif ini secara percuma kepada pelajar SPM,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat asasi dalam jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Semalam, menteri kanan pendidikan berkata keputusan SPM tahun lalu mencatat Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.80 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan calon yang layak memperoleh sijil SPM juga meningkat kepada 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada 2019.

 


Pengarang :