Tumpahan minyak di kilang minyak sawit mentah di Semenyih. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tumpahan minyak kilang sawit, tindakan pantas LUAS elak gangguan air

SHAH ALAM, 15 JUN: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelak gangguan bekalan air susulan insiden tumpahan minyak melibatkan kilang minyak sawit mentah di Semenyih.

EXCO alam sekitar berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7 malam semalam dan jarak lokasi siasatan ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih adalah 15.9 kilometer.

“LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Sungai Semenyih.

“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan meletakkan empat beg serbuk karbon teraktif di kawasan aliran air keluar dari kilang untuk mencegah pencemaran ke Sungai Rinching,” kata Hee Loy Sian menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata LUAS turut memasang pemecah minyak bagi meminimumkan dan menghalang aliran sisa minyak terus memasuki Sungai Rinching serta seterusnya ke Sungai Semenyih.

“Kerja pembersihan dan penyedutan baki minyak yang bertakung di dalam aliran kawasan premis bagi mengelakkan berlakunya limpahan dijangka selesai dalam tempoh 24 jam.

“LUAS akan melaksanakan pemantauan statik di Sungai Rinching dan pemantauan susulan terhadap kerja pembersihan yang telah dijalankan.

“Berdasarkan pemantauan statik LUAS sehingga jam 5 pagi hari ini di Sungai Rinching dan Sungai Semenyih, ujian pensampelan bau mencatatkan bacaan sifar ton dan aliran sungai dalam keadaan normal,” katanya.

Tegas beliau, LUAS akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada premis kilang terlibat berhubung risiko serta ancaman insiden kepada kualiti sumber air.

“Selaras dengan Seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 bagi larangan pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada dua ratus ribu ringgit dan tidak melebihi satu juta ringgit,” katanya.

 


Pengarang :