Hasil kerja kreatif wainscoting pada dinding pejabat dan rumah. Foto Bernama.com
RENCANAWAWANCARA

Ubah suai sendiri rumah, hobi berbaloi ketika PKP

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Ramai yang mungkin sudah ‘mati akal’ apa yang boleh lagi dilakukan semasa ‘musim berkurung’ yang sudah berlarutan sejak tahun lepas.

Apa kata cuba pula buat sendiri D.I.Y pengubahsuaian rumah. Bukan sahaja dapat mengisi masa tetapi juga menijmatkan perbelanjaan! Mungkin boleh cuba wujudkan suasana restoran atau hotel dalam rumah memandangkan sekatan pergerakan masih dikuatkuasakan.

Inilah yang penulis dan suami lakukan memandangkan rumah baharu yang kami diami masih memerlukan banyak perkara untuk disiapkan. Sejuk mata memandang hasil gandingan kerja dengan suami, tambahan dapat mengawal kos perbelanjaan.

Daya kreativiti

Hobi yang penulis lakukan ini turut menjadi pilihan kerani pentadbiran, Wan Nur Syarifah Diana Wan Shahida Azmi, 33. Beliau berkenan dengan dinding berpanel kayu ala-Inggeris kerana ia mewujudkan suasana eksklusif di dalam rumah dan memilih untuk melakukannya sendiri.

Hasil sentuhan Wan Nur Syarifah Diana Wan Shahida Azmi, 33. Foto Bernama.com

Hiasan panel kayu di bahagian bawah dinding “wainscoting” diperkenalkan di England pada abad ke-16 untuk melindungi dinding daripada masalah berpunca daripada kerja kalis cuaca yang kurang elok.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dikuatkuasakan pada 1 Jun lepas, Wan Nur Syarifah Diana sudah merancang untuk membuat wainscoting untuk dinding di kamar tidurnya. Daripada mengupah penghias dalaman yang melibatkan kos bayaran tidak kurang daripada RM1,000, beliau dan suaminya memutuskan untuk melakukannya sendiri.

“Kami belanja RM70 untuk beli selongsong dawai PVC, satu liter tin cat, gergaji, berus dan gam. Kerja yang kami buat ni memang memerlukan banyak tenaga, masa dan kreativiti.

“Memang meletihkan tapi saya dah berazam mahu memberi kamar tidur kami satu kelainan. Saya dan suami saya anggap ini sebagai hadiah untuk ulang tahun kesembilan perkahwinan kami, ” beliau memberitahu Bernama.

Untuk mewujudkan kesan wainscoting ke atas dinding kamar tidur itu, beliau tidak mengggunakan kayu kerana ia melibatkan banyak kerja termasuk memotongnya mengikut saiz yang diperlukan. Sebaliknya, beliau memilih selongsong dawai PVC yang siap dibuat.

“Saya gunakan kreativiti sendiri dan hasilnya sama jika saya menggunakan kayu, ” tambahnya.

Pasangan ini menghabiskan masa tiga jam sehari untuk projek berkenaan dan setelah empat hari, kamar tidur dengan sentuhan kreativiti tersendiri berjaya disiapkan.

Menurut Wan Nur Syarifah Diana, beliau memuat naik gambar dinding kamar tidurnya dengan hiasan panel kayu di akaun Instagram dan Facebooknya. Hasil kreativitinya itu mendapat penghargaan keluarga serta rakan-rakannya.

“Bukan niat saya hendak menunjuk-nunjuk tapi lebih kepada berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada mereka yang mencari sesuatu untuk dilakukan semasa tempoh PKP ini, ” tambahnya.

Permintaan tinggi

Minat terhadap wainscoting sejak kebelakangan ini bukan sahaja membuatkan permintaan bahan untuk melakukannya meningkat tetapi juga mendorong sesetengah orang untuk melibatkan diri dalam bidang perkhidmatan wainscoting.

Seorang daripadanya adalah Duan Zara Rizal Teh, 40, yang memulakan perniagaannya selepas diberhentikan kerja tahun lepas (2020) akibat pandemik Covid-19.

Syarikat beliau, DZ Molek Resources, menawarkan khidmat wainscoting di samping perkhidmatan sanitasi dan pensterilan untuk rumah dan pejabat.

“Penyelesaian untuk perubahan adalah melakukan penyesuaian dan merebut peluang. Dengan kerja keras, inisiatif serta memperbaharui tekad, Alhamdulillah, kini saya menganggap kehilangan kerja sebagai peluang untuk saya membina semula kehidupan saya, ” kata Duan Zara.

Beliau yang sememangnya berminat untuk kerja ubah suai rumah serta reka bentuk, membuat banyak penyelidikan mengenai wainscoting. Syarikatnya kini mampu menyediakan perkhidmatan memasang kepingan wainscoting untuk dinding penuh atau separuh dan setakat ini mempunyai beberapa orang pelanggan yang tinggal di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Apa yang pelanggan perlu sediakan ialah ukuran terperinci kawasan dinding rumah mereka dan kami akan hantar anggaran harga untuk kerja yang perlu dilakukan, ” kata Duan Zara.

Menurut beliau, memandangkan semakin ramai orang yang bekerja dari rumah sejak kebelakangan ini, permintaan untuk rumah yang cantik serta selesa turut meningkat.

“Semakin ramai orang yang memberi lebih perhatian kepada suasana dalam rumah mereka. Pemilik rumah juga mahu menjadikan rumah rumah mereka lebih indah dan memilih untuk membuat wainscoting sebagai pilihan lain kepada pemasangan kertas dinding atau reka bentuk yang dicat.

“Wainscoting ini bukan setakat menjadikan dinding nampak cantik. Ia lebih kepada menjadikan suasana dalam rumah lebih kemas dan selesa, ” katanya.

Beliau bagaimanapun, melahirkan keresahan dengan PKP yang masih berlarutan kerana beliau tidak dapat meneruskan operasi perniagaan dan menyebabkan beberapa kerja tertunggak.

“Kami bernasib baik pelanggan kami bersedia menunggu sampai tamat PKP 3.0 untuk kami pasang kepingan wainscoting yang mereka sudah tempah daripada kami, ” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :