AGENDANASIONAL

Umno beri tempoh 14 hari adakan sidang Parlimen

SHAH ALAM, 21 JUN: Umno memberi tempoh selama 14 hari kepada kerajaan persekutuan untuk mengadakan sidang Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong agar ia diadakan secepat mungkin.

Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kegagalan kerajaan melaksanakan titah itu dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.

“Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Covid-19 selain memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Tidak perlu berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan dalam kenyataan berhubung sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” katanya dalam kenyataan.

Pada 16 Jun, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu berpandangan Parlimen wajar segera bersidang bagi membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan juga peruntukan untuk membantu rakyat.


Pengarang :