Selangorkini
Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada majlis pelancaran program e-Tome e-Tuisyen secara maya pada 19 Jun 2021. Foto Facebook Unisel
PENDIDIKAN SELANGOR

Unisel: Tuisyen dalam talian percuma untuk calon SPM

SHAH ALAM, 21 JUN: Universiti Selangor (Unisel) menyediakan kelas tuisyen Matematik dan Bahasa Inggeris dalam talian percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Presiden dan naib canselornya berkata program e-Tome e-Tuisyen dijalankan dengan kerjasama pusat khidmat masyarakat Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi saluran sekolah maya Unisel (UVS).

“Program dikendalikan sepenuhnya pensyarah Unisel dan guru cemerlang terpilih, memfokuskan akademik dan penerapan elemen motivasi untuk menyuntik semangat pelajar sekali gus menjadikan medium lebih menarik.

“Diharap inisiatif ini memberi manfaat kepada pelajar membuat persiapan menghadapi peperiksaan,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Majlis pelancaran program disempurnakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menerusi sidang video pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan menjelaskan calon lain di seluruh negara masih boleh mengikuti pembelajaran melalui saluran UVS tanpa sebarang bayaran.

“Penyertaan dibuka kepada pelajar dari semasa ke semasa dengan syarat mereka perlu mendaftar. Konsep yang disediakan juga sama iaitu ada kelas dan ceramah,” katanya ketika dihubungi.

Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uvs.unisel.edu.my/.

 


Pengarang :