Dato’ Seri Amirudin Shari bertanya khabar seorang warga emas yang juga penerima vaksin AstraZeneca ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Vaksin warga emas dan OKU bermula hari ini, tumpu lokasi pedalaman

SHAH ALAM, 9 JUN: Program pemberian vaksin terhadap warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) terutama di kawasan luar bandar bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi mempercepat imuniti kelompok dan memastikan mereka mendapat suntikan imunisasi.

“Kita sedar keterbatasan pusat vaksin mega ini adakalanya sesak dan sukar untuk orang pedalaman mendapat akses. Malahan, konsep ‘outreach’ ini dilaksana bagi mengurangkan risiko kepada golongan tersebut.

“Justeru, Kerajaan Selangor mahu menumpu ke rumah warga emas dan Insya-Allah apabila bermulanya Program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor, kita akan lebih fokus ke kawasan pedalaman yang mana orangnya sukar untuk bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program bertajuk Pakej Kita Selangor 2.0: Strategi Tangani Covid-19, Perkukuh Ekonomi di Astro Awani malam ini.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan program vaksinasi bergerak membabitkan 16 pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 1,893 individu termasuk kakitangan dari 68 pusat jagaan.

Program itu ditawarkan kepada pusat jagaan kerajaan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat jagaan berlesen di bawah Akta 506 dan Akta 586 serta pusat swasta tidak berlesen.

Hari ini, Amirudin menerusi Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 mengumumkan Kerajaan Negeri melancarkan program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor untuk mempercepat imuniti kelompok rakyat dengan implikasi kewangan RM200 juta.


Pengarang :