Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 10 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Varian baharu punca kes Covid-19 di ICU tidak turun

SHAH ALAM, 16 JUN: Kemunculan varian baharu antara punca kes Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) tidak menurun di sebalik pengurangan kes dalam tempoh dua minggu mulai 1 Jun.

Ketua pengarah kesihatan berkata varian tersebut mengakibatkan kes gejala serius, iaitu kategori empat dan lima, dengan kesihatan merosot pada kadar lebih cepat.

“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit memerlukan rawatan kritikal ditempatkan di ICU,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata penggunaan katil melebihi kapasiti turut didorong tempoh pemulihan panjang antara 14 ke 26 hari bagi pesakit ICU yang menghadapi komplikasi jangkitan serius.

Sehubungan itu, beberapa langkah diambil bagi mengatasi masalah tersebut antaranya:

1. Menambah kapasiti 11,598 katil di hospital dan 31,861 di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 awam

2. Menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19

3. Bekerjasama dengan hospital pengajar antaranya Pusat Perubatan di Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Hospital Kanak- kanak Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menggunakan fasiliti mereka bagi merawat pesakit Covid-19

4. Bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini enam Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital KKM

5. Bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU

 


Pengarang :