BUDAYARENCANA

Vektor seorang Viktor

Oleh Azrin Fauzi

Ilustrasi Matarojit

1 kaki ke kanan, 1 kaki ke depan. Diam. Profesor Viktor Piatu makin mendekat ke titik O. Makin mendekat. Tetapi untuk tiba di hujung sana masih jauh. Masih terlalu jauh. [Tersangat jauh.] “Tersangat jauh?” [Tersangat.] “Tapi mendekat, kan?” [Akan kudekatkan. Walau masih jauh.] “Sejauh mana?” [Sejauh mata memandang.] “Begitu jauh? Tapi aku tak dapat memandang apa-apa.” [Pandanglah ke arah O.] “Kenapa?” [Kerana kau mesti ke sana. Akan tiba di sana.] “Sudah kukatakan, aku tak dapat melihat!” [Kau belum boleh melihat.] “Bila boleh kulihat?” [Bila kau tiba di sana.] “Di ‘sana’ tu di mana? Di… O?” [Seperti yang sudah kukatakan. Yang baru saja kaukatakan] “Jauh lagikah?” [Sejauh… di antara dua kata.] “Kata apa?” Diam. Engkau membalas pertanyaan Profesor Viktor Piatu dengan diam. Hanya dengan diam engkau boleh mengira. Untuk menemukan angka-angka di luar bahasa. Untuk mereka angka-angka dengan bahasa. Angka-angka yang akan memangkas sesaran (bukannya jarak) di antara Profesor Viktor Piatu dengan O. Yang akan mendekatkan. Akan menemukan. Menyatukan. 1 kaki lagi ke kanan, 1 kaki lagi ke depan. Engkau mengenali Profesor Viktor Piatu hanya melalui gerak langkahnya. Lebih mengenali jejak-jejaknya daripada sepasang kakinya sendiri. Yang mesti tiba di titik O. Akan tiba. Yang engkau pun tidak pasti bila. Kerana waktu sehabis-habisnya dihabiskan untuk mengira. Hanya dengan vektor yang sempurna Profesor Viktor Piatu akan sampai ke sana. Akan tiba di sana. Betul-betul tiba. Mesti betul lagi tepat magnitud dan arahnya. Dengan sesaran sepanjang beberapa √2 kaki lagi ke arah O, kaukira segala-galanya akan berakhir. Walaupun kautahu segala-galanya belum pun bermula. Kerana siapa kata O itu titik akhirnya? Dan engkau pun berkira-kira. Engkau tidak begitu pasti sudah √2 yang keberapa Profesor Viktor Piatu melangkah (diungkap sebagai x√2)? Dan sejauh mana lagi untuk ia tiba di titik O (diungkap sebagai x√2 + y)? Lalu engkau berkira-kira akan bagaimana untuk menambahkan nilai x sekali gus mengurangkan nilai y tetapi segala-galanya menuju ke ruang hampa. Viktor memeluk Viktor. Dipejamkan sepasang mata yang telah dibutakan paksi-x dan paksi-y. “Kenapa engkau beria-ia mengatur geriku?” [Viktor, Viktor… kau tak ingat?] Untuk entah kali keberapa kaujelaskan kepadanya: [Kau telah terlibat dalam sebuah kecelakaan tatkala pulang ke apartmenmu di pinggir kota.] “Atau sesudah letupan sebuah makmal?” [Atau engkau terlupa menekan suis untuk mematikan… untuk mematikan… hasrat sebelum bergegas keluar dari apartmenmu?] “Keluar dari makmalku?” [Untuk menghadiri sebuah majlis koktel anjuran datuk bandar di dada kota.] “Ah, masa laluku boleh saja kaureka-reka! Bukankah sejarah sering bermain di atas lidah si pemenang?” Walau kautahu engkau bukannya pemenang. Kerana bukanlah kemenangan yang kaucari. Engkau hanya ingin mengira. Terus mengira vektor seorang Viktor. Katakanlah magnitud vektornya ialah sisi sendeng kepada sebuah segi tiga bersudut tepat. 1 kaki ke kanan, 1 kaki ke depan pula ialah sisi melintang dan menegaknya. Oh, engkau teringat akan kata-kata seseorang yang sudah kaulupa siapa: “Geometri tak seharusnya terlalu bergantung pada gambar rajah. Kerana akan melesukan imaginasi.” Dan engkau terus mengira. Kerana itu yang engkau inginkan. Untuk menemukan sisi sendeng segi tiga itu, untuk menemukan magnitud vektornya, iaitu punca kuasa dua bagi (panjang sisi melintang)2 + (panjang sisi menegak)2, menjadikan nilainya √__. Magnitud yang menjadi sesaran, berserta dengan arahnya ke titik O, menjadikan vektor Profesor Viktor Piatu itulah yang—”Cukup!” [Kenapa?] “Biarkan aku di sini. Sendiri.” [Tapi kau mesti ke sana. Akan tiba di sana.] “Kekalkan aku di sini. Berhenti mengira!” [Tapi kenapa?] “Kerana… kerana suaramu ramai. Engkau di mana?” [Aku di mana-mana. Aku ingin terus mengira.] “Aku dah tak berdaya. Berhenti.” [Agar kau terus di sini?] “Kalau begini, aku tak mau melihat, tak mau mendengar, tak mau apa-apa. Aku tak mau ke mana-mana. Apa salahkah aku di sini?” [Kenapa kau di sini?] “…” [Viktor, Viktor… apa sudah kaulupa?] “Di sela-sela batuk dan bicara… kuhirup isi tiram mentah dengan sedikit perahan lemon… sebelum dipanggil untuk sebuah tugasan memanipulasi data.” [Atau dipanggil untuk sebuah tawaran yang tidak akan] “kerana tidak mampu” [kaulepaskan? Untuk menjadi sukarelawan] “menjadi korban!” [dalam sebuah ujikaji penawar kepada suatu penyakit?] Di atas hamparan grid tak berpenghujung, engkau membiarkan Viktor memeluk Viktor. Dalam kegelapannya. Dalam kedinginan. Kebiruan. Kegagalan? “We apologize for interrupting this program,” beritahu suatu gema yang tidak diduga. Untuk entah kali keberapa Profesor Viktor Piatu tidak tiba juga di titik O. Dan aku tidak menyalahkan sesiapa. Termasuklah engkau. Termasuk diriku. Barangkali aku terlupa yang engkau turut memiliki vektor sendiri. Di mana-mana. Dan vektor itulah yang mesti juga diambil kira. Meski aku tidak mengenalimu dan engkau pun begitu. Mungkin. Semata-mata untuk Profesor Viktor Piatu tiba di sana. Dengan vektor paling sempurna. Yang tepat magnitud dan arahnya. Tidak lagi tertanya-tanya di antara dua kata. Pertanyaan yang jauh dari jawapannya. Sejauh engkau dengan aku. Oh, mengapa engkau berdiam, membisu? […] Mengapa? […] Profesor Viktor Piatu boleh diselamatkan. [Mesti diselamatkan.] Walau pernah beberapa kali kutegaskan sebaliknya. “Sistemnya diserang virus! Diserang virus!” teriakku tatkala menemukan sekujur tubuh pucat-pasi di atas lantai berjubin hitam-putih, di mana setiap satu jubinnya berukuran 1 kaki persegi. [Mana mungkin kulupa akan kata-kata terakhirnya:  “Bawaku ke titik O, kalaupun waktu itu aku bukan lagi aku. Bawaku ke situ, untuk kembali.”] Suatu amanat yang telah diprogram oleh Profesor Viktor Piatu sendiri. Suatu ketika dahulu. Tidak lama dahulu. Tetapi benarkah? Kadangkala buatku tertanya-tanya… [Tentang Viktor.] Ya. Viktor. [Viktor di mana?] …benarkah Profesor Viktor Piatu itu ada? Adakah ia ditemui atau direka olehmu? [Oleh kita.] Oleh kita? [Oleh kita! Dengan angka.] Dengan bahasa… barangkali aku yang sudah tidak lagi mengenal angka. Ada hitungan yang tergantung, belum selesai dikira. [Viktor di mana?] Profesor Viktor Piatu seharusnya tidak ke mana-mana. Mana mungkin ia tersesat di atas garis-garis koordinat. Mana mungkin jejak-jejaknya hilang di persimpangan paksi-x dan paksi-y. Garis-garis yang saling bersilang dengannya. [Menjadikan ia ada. Ada dalam tiada. Akan kita bawa titik O kepada ia.] Kalaupun terpaksa meruntuhkan seluruh algoritma? [Memusnahkan semula semua algoritma.] “Reset,” menggema lagi, “Reset!” 0 kaki ke kanan, 0 kaki ke depan. Diam. Maka engkau dengan aku, masih jauhkah di antaranya?


Pengarang :