Petugas kesihatan menunjukkan vaksin Covid-19 yang akan diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MSU Medical Centre, Shah Alam pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Bukit Melawati jelajah kampung daftar vaksin warga emas

SHAH ALAM, 16 JUN: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati akan menjelajah kampung bagi memperhebat kempen pendaftaran vaksin Covid-19 mulai minggu ini.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata fokus meliputi warga emas yang mencatatkan angka pendaftaran rendah kerana tidak mempunyai peranti dan tidak mengetahui kaedahnya.

“Kita akan memberikan kad sebagai pemberitahuan tarikh janji temu suntikan dan ketua kampung boleh memantau apabila tiba masanya bagi memastikan golongan terbabit dibawa ke pusat pemberian vaksin.

“Pendaftaran ini juga membolehkan golongan tidak mempunyai kenderaan dikenal pasti dan kita bantu sediakannya nanti,” katanya pada forum dalam talian yang disiarkan secara langsung di Facebook Yayasan Warisan Anak Selangor hari ini.

Forum bertajuk Vaksinasi: Warga emas selamat? turut menampilkan Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia Dr Megat Mohamad Amirul Amzar sebagai panel.

Juwairiya berkata Kerajaan Negeri turut membabitkan sukarelawan muda seperti Team Selangor dan Penggerak Belia Selangor untuk meningkatkan kadar pendaftaran vaksin.

“Mereka sudah diminta bantu pusat kesihatan daerah dan turun padang memastikan penduduk di kawasan masing-masing berdaftar,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan di Facebook, Juwairiya memaklumkan program pendaftaran vaksin akan dimulakan di Sasaran Sungai Buloh pada Jumaat ini, mulai jam 8.30 pagi.

Pada 4 April, Kerajaan Negeri melancarkan Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel)
secara besar-besaran bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Dato’ Seri Amirudin menjelaskan pusat khidmat DUN dan Parlimen, ahli majlis serta ketua kampung akan bergerak aktif membantu proses pendaftaran.

Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Pengarang :