Orang ramai menunggu giliran untuk mengimbas kod bar aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan MPK Taman Klang Jaya, Klang pada 31 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN guna Facebook hebah saringan, program diterus di dua DUN hari ini

KLANG, 1 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa menggunakan siaran langsung di Facebook bagi mengajak orang ramai membuat Saringan Komuniti semalam.

Dr G Gunarajah berkata pendekatan itu digunakan bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat mengenai program anjuran Kerajaan Negeri.

Beliau berkata kaedah itu juga membantu orang ramai memahami dengan lebih jelas langkah awal yang perlu diambil seperti persediaan tempat.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah

“Kita membuat hebahan selama tiga hari berturut-turut dan semalam kita buat ‘live’ Facebook untuk bagi keyakinan kepada orang ramai datang dan kita akan selesaikan urusan saringan dalam tempoh setengah jam.

“Hasil kaedah itu hari ini (semalam) jam 7.30 pagi lebih 200 orang datang beratur walaupun saringan dibuka pada jam 9 pagi,” katanya ketika membuat tinjauan di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Taman Klang Jaya semalam.

Saringan percuma diteruskan hari ini di DUN Sungai Kandis dan Kota Kemuning bermula jam 9 pagi hingga 4 petang iaitu hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara.

Program berkenaan diadakan di Dewan (Andalas) Sukan Klang, Lingkungan Seri Mersing dan Dewan Kemunting MBSA, Seksyen 25.

Orang ramai digalakkan mendaftar di aplikasi Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah) bagi memastikan proses saringan lancar.


Pengarang :