Orang ramai menunggu giliran sebelum menjalani saringan Covid-19 percuma di Stadium Jugra, Kuala Langat pasa 3 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat jadi sukarelawan di beberapa lokasi Saringan Komuniti

BANTING, 3 JUN: Dua wakil rakyat beberapa kali menjadi sukarelawan Saringan Komuniti Covid-19 sekalipun di luar kawasan diwakili mereka bagi memastikan program Kerajaan Negeri berjalan lancar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Ki berkata tindakannya itu demi membantu rakyat selain tidak mahu ada individu berasa susah ketika menjalani ujian calitan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Ki

“Dewan Undangan Negeri (DUN) saya antara lokasi awal program. Jadi saya lihat terdapat beberapa kekurangan dan rasa ia perlu ditambah baik di tempat lain.

“Apabila saya jadi sukarelawan, selain dapat membantu rakyat. Saya juga menyarankan beberapa pandangan antaranya penyediaan kerusi roda serta penambahan petugas,” katanya ketika ditemui di Saringan Komuniti DUN Banting hari ini.

Siew Ki berkata program di Stadium Jugra itu merupakan lokasi keenam beliau sebagai sukarelawan selepas DUN Kinrara, Seri Kembangan, Subang Jaya, Damansara Utama dan Pandamaran.

“Beberapa DUN lagi akan dibantu bantu sehingga program selesai 10 Jun. Saya mahu program Kerajaan Negeri berjalan lancar dan memudahkan rakyat,” katanya.

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin

Sementara itu, ADN Bandar Utama berkata beliau mahu memanfaatkan program Kerajaan Selangor memandangkan ketika ini program terhad susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita ada pengalaman jadi kita bantu kawasan lain. Cara ini melancarkan program sekali gus memberi imej baik kepada Kerajaan Selangor,” kata Jamaliah Jamaluddin.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun ini, Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan Covid-19 membabitkan semua 56 DUN negeri ini.

Sehingga kelmarin, lebih 81,000 individu menyertai program berkenaan dan hampir 3,000 peserta disahkan positif menerusi saringan menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag).


Pengarang :