Sesi penangguhan Sidang Dewan Negeri Selangor Mesyuarat kedua Penggal ketiga yang ke – 14 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat puji komitmen buka sidang dewan negeri secepat mungkin

SHAH ALAM, 18 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) menyifatkan rancangan Selangor membuka sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) secepat mungkin sebagai menghormati demokrasi demi kepentingan rakyat.

Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi berkata sidang itu adalah medan terbaik untuk membincangkan masalah rakyat terutama dalam keadaan mencabar susulan penularan Covid-19.

ADN Kota Anggerik Najwan Halimi

“Saya menjunjung kasih kepada titah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Majlis Raja-Raja membenarkan Parlimen dan DUN bersidang demi kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Sungai Ramal Mazwan Johar menyuarakan rasa lega dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengembalikan semula proses demokrasi yang membawa isu dan masalah rakyat.

ADN Sungai Ramal Mazwan Johar

“Sepatutnya pertengahan tahun ini kita perlu melihat semula perkembangan perbelanjaan dalam Bajet 2021 untuk melakukan tambah baik tetapi tidak dapat sebab ada sekatan darurat,” jelasnya.

Manakala ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin pula berpandangan perbahasan dalam sidang DUN boleh menjadi medan mencari penyelesaian berkesan secara bersama.

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin

“Memang sebagai wakil rakyat kami boleh untuk berbincang dengan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) dan pegawai kerajaan tetapi kalau dalam sidang boleh dibincangkan bersama untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah menitahkan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perlu diadakan secepat mungkin.

Semalam, Amirudin dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Speaker DNS Ng Suee Lim bagi merancang pembukaan sidang dewan secepat mungkin.

Hari ini, Suee Lim berkata beliau akan mengutus surat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi memohon perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi pembukaan sidang dewan sekitar Ogos depan.


Pengarang :