Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Wakil rakyat: Segerakan laksana titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 8 JUN : Kerajaan persekutuan digesa menyegerakan penyediaan vaksin tambahan kepada rakyat Selangor susulan teguran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata titah Sultan itu bertepatan dengan keperluan rakyat berjumlah 6.5 juta di negeri ini.

“Titah baginda perlu diberi perhatian dan tidak sepatutnya wujud pelbagai tohmahan, ketidakcekapan data dan mainan politik yang hanya merencatkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok.

“Dalam keadaan kes harian Covid-19 yang meruncing, adalah wajar nyawa rakyat diberi keutamaan berbanding agenda lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa Ahli Dewan Negeri (ADN) Perikatan Nasional Selangor bersama memainkan peranan mendesak kerajaan mempercepatkan proses penyediaan vaksin ini.

Hari ini, menerusi kenyataan Facebook Royal Selangor, Sultan Sharafuddin berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan.

 

 

 


Pengarang :