Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail . Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wan Azizah: Segera benar sidang Parlimen, bahas isu rakyat

SHAH ALAM, 4 JUN: Kerajaan harus segera membenarkan persidangan Parlimen supaya masalah tercetus akibat pandemik Covid-19 dan jenayah aparteid terhadap Palestin dapat dibahaskan secara tuntas, kata Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata Dewan Rakyat yang bersidang kali terakhir pada 15 Disember tahun lalu sepatutnya menjadi wadah membahaskan isu rakyat yang semakin meruncing untuk mencari jalan penyelesaian.

Tegasnya, pentadbiran kerajaan memberikan alasan darurat untuk tidak membenarkan persidangan Parlimen walaupun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah mengizinkannya.

“Lantaran itu isu rakyat seperti saya sebutkan tadi seperti kesenjangan ekonomi, kesihatan mental rakyat, keganasan rumah tangga, anak serta isteri maut di tangan pengasuh dan suami tidak dapat dibahaskan

“Isu pendidikan juga terus jadi tumpuan tanpa ada penyelesaian. Sekolah ditutup, bagaimana kita hendak menyambung…Adakah kita akan ada generasi kurang berpendidikan? Ini yang kita takut untuk ditangani bersama,” katanya ketika merasmikan Kongres Wanita KEADILAN ke-15 secara maya hari ini.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata penutupan Parlimen juga tidak membolehkan negara menyatakan pendirian secara tegas isu manusia sejagat seperti pemusnahan etnik dan dasar aparteid berlaku secara kejam oleh rejim zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

“Kita mesti keluarkan satu pernyataan tegas sebagai sebuah negara bebas dan merdeka, kita tentang sistem aparteid (berlaku) di mana-mana,” katanya.


Pengarang :