AGENDA NASIONAL

Wan Azizah yakin lebih ramai wanita jadi calon KEADILAN

SHAH ALAM, 5 JUN: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yakin lebih ramai wanita akan menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang kerana kemampuan mereka menjadi pemimpin masyarakat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata kenyataannya itu bukan bermaksud untuk mencabar kaum lelaki dalam parti tetapi berharap proses berkenaan dapat dipermudahkan.

Memetik Harvard Business Review bertarikh Jun 2019, beliau berkata dapatan kajian itu menunjukkan wanita mempunyai kelebihan dalam beberapa perkara dan dipercayai 84 peratus lebih efektif dalam ukuran kompetensi.

“Antaranya dalam hal-hal mengambil inisiatif, lebih berdaya tahan, suka kepada pembangunan kendiri, berbuat sesuatu dengan dorongan keputusan, mempamerkan integriti tinggi serta jujur,” katanya ketika merasmikan Kongres Wanita KEADILAN ke-15 secara maya hari ini.

Wan Azizah turut menyeru Wanita KEADILAN melipatgandakan usaha meraih sokongan rakyat, termasuk menambah jumlah keahlian sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Walaupun berdepan kemelut pelbagai, saya bangga dan bersyukur melihat keanggotaan kita semakin bertambah dari hari ke hari. Ini petanda parti kita masih relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.

“Untuk menang, kita harus kekal relevan di hati rakyat. Untuk menang, kita harus menjadi kelompok yang dipercayai rakyat dan dilihat mampu memberi harapan kepada penyelesaian masalah,” katanya.


Pengarang :