Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membuat saringan Covid-19 percuma di Kompleks Muhibbah Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 4 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Warga emas hadir Saringan Komuniti, mahu pasti diri bebas Covid-19

TANJONG SEPAT, 5 JUN: Seorang warga emas hadir Saringan Komuniti bagi memastikan tahap kesihatan diri selepas menjadi kontak rapat kes Covid-19.

Juliah Mohamad,84, berkata beliau merupakan kontak rapat selepas cucunya berusia 21 tahun disahkan positif pada Rabu.

“Makcik duduk di Sungai Pelek, Sepang tapi sanggup datang ke sini (Saringan Komuniti) sebab risau kalau dijangkiti virus.

“Walaupun sudah disuntik vaksin tetapi perasaan takut itu tetap ada kerana makcik tidak sihat (berpenyakit). Risau jika mendatangkan mudarat,” katanya ketika ditemui di Kompleks Muhibbah hari ini.

Juliah Mohamad,84,

Beliau hadir bersama anaknya Suriyana Misran, 53, yang turut sama menjalani ujian calitan berkenaan.

Sementara itu, seorang bapa Azura Hassan Zainal Abidin, 46, turut memanfaatkan Saringan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat dengan membawa seluruh ahli keluarganya menjalani saringan.

Menurutnya, beliau merupakan kontak rapat pesakit Covid-19 namun sudah menjalani saringan minggu lalu dan didapati negatif.

“Namun perasaan risau tetap ada terutama terhadap empat anak berusia enam hingga 18 tahun kerana sekarang banyak kes tidak bergejala.

“Bila isteri dan anak-anak buat ujian ini, sekurang-kurangnya saya tahu tahap kesihatan mereka,” katanya.

Semalam, Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor diadakan di DUN Tanjong Sepat dan Morib yang berjalan serentak dari jam 9 pagi hingga 4 petang.


Pengarang :