Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Warga emas manfaat saringan percuma, daftar sekali vaksin

HULU SELANGOR, 9 JUN: Peluang menjalani ujian Covid-19 secara percuma dimanfaatkan sebaiknya seorang warga emas sekitar Kuala Kubu Bharu.

Kesempatan yang ada turut digunakan Zakaria Bakdin, 79, untuk mendaftar program suntikan vaksin hasil bantuan petugas kesihatan Selcare.

Zakaria Bakdin

“Bagus program ini. Selain tahu status kesihatan, pakcik juga dapat daftar suntikan vaksin. Pakcik daftar terus sahaja sebab tidak tahu guna SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat).

“Ramai petugas bantu sama ada ketika daftar saringan atau vaksin,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu semalam.

Sementara itu, seorang bapa sanggup memohon kebenaran rentas daerah bagi membawa isteri dan anak berusia antara dua hingga 14 tahun membuat saringan.

Muhd Zakri Muhd Noor, 43, berkata meskipun boleh mengemukakan kod bar SELangkah, namun dia tidak mahu menanggung risiko kerana merentas dari Gombak ke Hulu Selangor.

Muhd Zakri Muhd Noor

“Walaupun jauh tetap sanggup demi mengetahui tahap kesihatan memandangkan kami merupakan kontak rapat pesakit Covid-19. Urusan pendaftaran hingga ujian juga sangat sekejap,” katanya.

Kerajaan Selangor giat menjalankan program saringan percuma di 56 DUN sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Program memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang
status kesihatan diri selesai dijalankan di 52 DUN setakat ini.

Hari ini, program sama berlangsung di Dewan Tun Razak Sabak Bernam dan Stadium Sungai Besar.


Pengarang :