Fatimah Long (berkerusi roda) yang tulang peha kanannya patah dibantu sukarelawan untuk mendapatkan vaksin dalam Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) di Dewan Seri Siantan, Taman Selayang, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Warga emas patah paha gagahkan diri dapat suntikan vaksin

GOMBAK, 28 JUN: Seorang warga emas yang menghidap penyakit kronik nekad hadir ke Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) hari ini walaupun tulang paha kanannya patah.

Menurut Fatimah Long, 71, beliau hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Taman Selayang kerana ingin memastikan dirinya mendapat vaksin sebagai perlindungan.

Jelasnya, sebagai penghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, risiko dijangkiti Covid-19 lebih tinggi dan boleh mengalami gejala atau kesan yang teruk.

“Walaupun susah hendak bergerak tetapi makcik tetap kuatkan semangat datang kerana sudah mendapat janji temu suntikan vaksin hari ini.

“Memang awal-awal takut juga kerana bimbang kesannya tetapi kalau orang lain berani, mengapa saya tidak boleh?” katanya.

Muhammad Ali Mohd Repin

Seorang lagi warga emas, Muhammad Ali Mohd Repin, 77, berkata beliau tidak pernah termakan dengan dakwaan kononnya vaksin berbahaya terutama untuk golongan berusia.

“Saya hairan mengapa ada orang kata vaksin tidak bagus, ramai kawan-kawan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan selepas disuntik,” katanya.

SCVP dilaksanakan secara besar-besaran sebagai sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 memaklumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk menjayakan inisiatif berkenaan.


Pengarang :