Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin AstraZeneca yang mengutamakan OKU dan warga emas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 1 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Warga emas tidak gentar, suntikan vaksin mampu lindungi diri

KUALA LUMPUR, 16 JUN: “Janganlah takut … kalau disuntik vaksin ini bukannya mati, tetapi tujuan kita hendak menghilangkan penyakit Covid-19 untuk mengelakkan ia merebak kepada orang ramai,” itu reaksi seorang warga emas Zaharah Mat Derus, 80 terhadap suntikan vaksin Covid-19.

Zaharah, yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, tidak gentar untuk mendapatkan suntikan itu sebaik menerima janji temu menerusi aplikasi MySejahtera minggu lepas walaupun sering mendengar berita tidak benar tentang kesan sampingan vaksin.

“Saya sendiri mempunyai penyakit dan tetap mahu mengambil vaksin ini untuk melindungi diri dan setakat ini, saya rasa seperti biasa sahaja,” kata warga emas itu yang mempunyai lima anak dan 11 cucu namun masih sanggup menempuh perjalanan lebih 40 kilometer dari kediamannya di Sungai Siput untuk ke Perak Medical Centre (PMC) di Ipoh bagi mendapatkan suntikan tersebut.

Katanya beliau sudah biasa disuntik untuk tujuan pengambilan darah ketika pemeriksaan kesihatan setiap dua bulan di Hospital Sungai Siput kerana menghidap dua penyakit itu sejak beberapa tahun lepas.

Di Lumut, Chiang Chin Yee, 29, menarik nafas lega selepas ibunya, Eong Mee Ngok, 61, bersetuju mendapatkan vaksin setelah puas dipujuk untuk mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum mendapat janji temu bagi suntikan itu semalam.

Chin Yee, yang ditemui ketika menemani Eong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam (PPA) Amanjaya, Lumut Kiri, berkata ibunya sebelum ini enggan berbuat demikian setelah mendengar pelbagai kisah mengenai kesan sampingan akibat suntikan itu.

“Jadi ibu pun tidak mahu dapatkan vaksin dan menganggap dia boleh melindungi diri sendiri dengan hanya duduk di rumah, tetapi sebagai anak, kita mahu dia dapat vaksin, jadi kita pun pujuk dia, tolong daftarkan dan akhirnya bawa dia untuk dapatkan suntikan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Chin Yee memaklumkan beliau belum berjaya memujuk Chiang Pong Chong, 61, untuk turut mendapatkan suntikan itu namun yakin bapanya itu akan mengikut jejak langkah Eong selepas melihat ibunya tidak mengalami apa-apa kesan sampingan.

Di Selangor, Jururawat Khas Rumah Jagaan Warga Emas FDC di Klang, S Pathmavalli, 48, pula berkata tiada sebarang kesan mudarat dialami oleh 22 penerima vaksin Covid-19 yang menghuni rumah orang-orang tua itu selepas mengambil suntikan pada 7 Jun lepas.

“Syukur warga emas di sini tidak mengalami sebarang alahan selepas suntikan walaupun kebanyakan mereka menghidap diabetis, darah tinggi serta mengambil insulin dan dua merupakan individu yang terlantar namun semua baik-baik sahaja,” katanya.

Seorang penghuni, R.Maragatham, 89, berkata sehingga hari ini, beliau tidak mengalami sebarang kesan selepas menerima suntikan itu malah berasa semakin cergas untuk menjalani aktiviti harian di rumah jagaan tersebut.

Penghuni Rumah Jagaan Warga Emas FDC merupakan antara penerima vaksin Covid-19 di bawah Program Outreach Rumah Warga Emas yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

JKNS telah memulakan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Rumah Jagaan Warga Emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pada awal Jun lepas bagi memastikan golongan itu tidak tertinggal.

Mengulas perkembangan program itu, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sehingga kini, sejumlah 279 rumah jagaan di negeri tersebut menyertai program berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 206 terdiri daripada institusi jagaan warga emas manakala 73 adalah institusi jagaan OKU. Jumlah ini dijangka bertambah dari semasa ke semasa khususnya dengan adanya penyertaan dari (rumah jagaan) swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga berkata setakat Jumaat lepas, sebanyak 59 institusi jagaan warga emas telah dikunjungi JKNS untuk proses vaksinasi Covid-19 dan seramai 530 penjaga serta kakitangan selain 1,062 penghuni dewasa berumur 18 tahun ke atas telah menerima suntikan dos pertama.

– BERNAMA


Pengarang :