Petugas kesihatan menguruskan jenazah pesakit Covid-19. Foto Facebook KKM
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Waris pesakit Covid-19 maut terima RM1,000, OKU dapat RM500

SHAH ALAM, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000 kepada waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM1.5 juta bagi melaksanakan inisiatif tersebut sebagai tanda simpati kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, beliau membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Pakej Selangor Prihatin fasa dua yang dibentangkan April tahun lalu, Kerajaan Negeri memberikan bantuan RM1,000 sekali bayar kepada pesakit Covid-19 yang berasal dari Selangor.

Amirudin turut mengumumkan bantuan RM500 sekali bayar kepada orang kelainan upaya (OKU) membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM600,000.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan talian khas aduan keganasan rumah tangga yang dibangunkan Wanita Berdaya Selangor dengan kerjasama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan membabitkan peruntukan RM100,000.

 


Pengarang :