Vaksin jenis Sinovac yang dibekalkan oleh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) untuk diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MSU Medical Centre Shah Alam ketika tinjauan pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wartawan Media Selangor terima vaksin berperingkat mulai hari ini

SHAH ALAM, 23 JUN: Petugas media dari Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) menerima vaksin Covid-19 secara berperingkat mulai hari ini.

Vaksin jenis Sinovac diperoleh di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Tanjung MBSA di Seksyen 19, dekat sini bermula jam 9 pagi tadi.

Suntikan pelalian itu sebahagian daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada kakitangan media di seluruh negara mulai 9 Jun.

Penolong Pengarang Berita Selangorkini Khairul Azran Hussin, 41, gembira apabila mendapat tarikh janji temu suntikan selepas menunggu sekian lama.

“Kerja sebagai wartawan memerlukan kami turun ke lapangan dan perlu berjumpa ramai individu. Kita tidak tahu siapa dijangkiti. Jadi apabila terima vaksin, sekurang-kurangnya kita dapat melindungi diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui.

Wartawan Selangorkini Muhammad Mustakim Ramli, 34, memuji proses suntikan yang lancar termasuk penyediaan stesen kaunseling, persetujuan dan pemerhatian bagi memudahkan urusan.

“Borang persetujuan termasuk maklumat kesihatan perlu diisi. Pegawai perubatan memaklumkan kesan suntikan serta langkah perlu diambil.

“Selepas disuntik, saya diawasi di bahagian pemerhatian selama 15 minit untuk pantauan kesihatan sebelum dibenar pulang,” katanya.

Seramai 5,000 pengamal media disenaraikan untuk menerima vaksin, termasuk mereka yang akan membuat liputan ke Sukan Olimpik Tokyo.

 


Pengarang :