Foto Facebook Yide
AGENSISELANGOR

Yide anjur siri bacaan Yasin, mohon bendung ancaman wabak

SHAH ALAM, 3 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menganjurkan bacaan Yasin secara dalam talian mulai semalam bagi memohon perlindungan daripada ancaman Covid-19.

Program disertai hampir 100 anak yatim bawah pusat jagaan yayasan itu turut melibatkan pesakit dari enam cawangan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata inisiatif melalui aplikasi Google Meet akan diteruskan lagi pada 4, 7, 9 dan 11 Jun ini.

“Siri bacaan Yasin ini sebagai salah satu jalan untuk bermunajat kepada Allah SWT bagi membendung wabak ini dari terus menular,” katanya dalam kenyataan.

“Dalam siri akan datang, Yide akan tampilkan penceramah jemputan sebagai Naqib untuk mengetuai bacaan Yasin selain sesi tazkirah motivasi kepada anak yatim sebagai wadah rohani dan semangat untuk mereka sepanjang perintah kawalan.”

Selain Yide, program sama turut dianjurkan Mais sepanjang pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama mulai Selasa.


Pengarang :