Imam-imam Masjid Negeri berdoa setelah selesai berselawat dan zikir ketika Program Rakyat Selangor Berdoa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Zikir Ratib Al-Haddad mulai malam ini, mohon dijauhi ancaman virus

SHAH ALAM, 1 JUN: Umat Islam negeri ini diseru menyertai program bacaan zikir Ratib Al-Haddad mulai hari ini hingga 14 Jun sebagai ikhtiar memohon perlindungan daripada ancaman Covid-19.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata inisiatif melalui program Selangor Berzikir digalakkan dibuat di kediaman masing-masing mulai jam 9 malam.

“Program ini usaha Kerajaan Negeri bagi menggalakkan rakyat Malaysia khasnya di Selangor untuk terus berusaha dan memohon doa perlindungan agar dijauhi daripada musibah dan wabak ini.

“Semoga dengan amalan seluruh warga negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh akan dapat membina kekuatan jiwa dan memberi kesejahteraan hidup kita bersama,” katanya.

Beliau ditemui pada program serahan sumbangan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Mohd Zawawi berkata beberapa ulama turut dijemput untuk berkongsi manfaat zikir Ratib Al-Haddad yang diamalkan ratusan tahun lalu bagi mengangkat sesuatu penyakit.

Zikir tersebut juga boleh ditonton secara langsung di Facebook Zawawi Mughni.

Foto Facebook Zawawi Mughni

Pengarang :