AGENDANASIONAL

101 kotak produk kesihatan didakwa boleh rawat Covid-19 dirampas

SHAH ALAM, 6 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 101 kotak produk kesihatan dikenali Lianhua Qingwen Jiaonang yang didakwa boleh merawat Covid-19.

Pengarah Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata ubat tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan itu dirampas dalam serbuan Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Farmasi JKNS di Petaling Jaya pada 1 Julai lalu.

Menurutnya, nilai produk dianggarkan RM2,500 dan ia rampasan kali kedua membabitkan produk sama. Rampasan pertama pada Oktober tahun lalu.

“Produk tidak berdaftar ini didakwa berupaya merawat jangkitan Covid-19 secara kendiri dan dikhuatiri mendatangkan kesan sampingan buruk ke atas kesihatan sekiranya digunakan tanpa pemeriksaan.

“Siasatan lanjut dibuat mengikut Akta Jualan Dadah 1952, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan media.

Dr Sha’ari turut menasihatkan orang ramai membuat semakan lanjut sebelum membeli produk kesihatan dan kosmetik secara dalam talian.

Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran atau notifikasi kosmetik dengan melayari http://www.npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03 7883 5400.

 


Pengarang :