Niel Shofia Fitrah Abdul Muthalib, 18, mempelajari teknik dan kaedah menjawab soalan peperiksaan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 ketika tinjauan pada 5 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

16,000 calon SPM daftar portal eptrs.my, belajar lima subjek teras

SHAH ALAM, 13 JULAI: Seramai 16,000 pelajar tingkatan lima di seluruh negeri mendaftar portal pendidikan Selangor eptrs.my setakat ini sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  tahun depan.

Urus setia Program Tuisyen Rakyat Selangor Siti Syazwani Ab Latib berkata angka itu berdasarkan pendaftaran calon peperiksaan menerusi dua pakej pembelajaran yang disediakan sejak Mei lalu.

“Pakej A menyasarkan pelajar kurang berkemampuan dan prestasi pelajaran sederhana. Mereka diberi bantuan dalam bentuk kelas tuisyen melalui bimbingan guru berpengalaman serta modul pembelajaran.

“Manakala pakej B turut menumpukan golongan pelajar susah namun mereka hanya dibekalkan modul pembelajaran,” katanya yang menyasarkan seramai 30,000 pelajar mendaftar program itu pada tahun ini.

Siti Syazwani berkata pihaknya belum bercadang menambah bilangan mata pelajaran kerana mahu memastikan calon peperiksaan menguasai sepenuhnya program pembelajaran sedia ada.

“Sekarang kita sedang memantapkan bahan kandungan eptrs kerana pelajar kena betul-betul skor mata pelajaran teras, jika tidak akan menjejaskan keputusan peperiksaan mereka,” katanya.

Portal pendidikan eptrs.my antara inisiatif terkandung dalam Pakej Kita Selangor yang dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Platform berkenaan menawarkan pembelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, matematik dan sejarah untuk SPM, manakala pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk calon STPM.

 


Pengarang :