ADN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran meninjau proses pemberian vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

1,800 penduduk Bukit Gasing terima pelalian dari Selvax Komuniti

PETALING JAYA, 16 JULAI: Seramai 1,800 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini.

Wakil rakyat R Rajiv berkata jumlah itu membabitkan kumpulan pertama yang mendaftar dengan Pusat Khidmat DUN sepanjang minggu ini.

“Kebanyakan penerima ini merupakan golongan muda memandangkan majoriti warga emas di sini sudah disuntik melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kami tidak memfokuskan mana-mana golongan asalkan individu itu mahu disuntik dan menetap sekitar DUN Bukit Gasing,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Garden Mall hari ini.

Rajiv berkata pihaknya akan turun padang ke kawasan perumahan bagi mengesan individu yang tidak tahu cara mendaftar namun mahu mengambil pelalian berkenaan.

“Ini untuk peringkat kedua. Kita mahu penuhkan kuota 2,500 yang diberikan Kerajaan Selangor supaya imuniti kelompok dapat dicapai dan penduduk dilindungi,” katanya.

Selvax dilancarkan bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk negeri ini yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.

 


Pengarang :