Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19 yang koma di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

2.5 peratus kes Covid-19 babit pesakit kategori tiga hingga lima

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 433 kes atau 2.5 peratus daripada 17,045 kes Covid-19 hari ini membabitkan pesakit kategori tiga hingga lima.

Ketua pengarah kesihatan berkata sebanyak 122 kes atau 0.7 peratus dalam kategori tiga, manakala 124 kes atau 0.7 peratus pada kategori empat.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kategori lima pula merekodkan 187 kes atau 1.1 peratus.

“Keseluruhannya, 2.5 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga, empat dan lima yang perlu ditempatkan di hospital merawat Covid-19 yang semakin penuh serta sesak.

“Oleh itu, masyarakat diseru terus kekal mematuhi tatacara operasi piawai, elakkan perhimpunan terutama di tempat sempit dan kurang pengudaraan dan segera mendapatkan janji temu vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, kategori satu bermaksud tiada gejala, kategori dua bergejala ringan dan kategori tiga mempunyai radang paru-paru.

Kategori empat pula merujuk kes radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen manakala kategori lima kes kritikal dan bergantung pada bantuan pernafasan.

Jumlah jangkitan Covid-19 terus melonjak ke paras tertinggi dengan 17,045 kes hari ini berbanding rekod 15,902 semalam.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes di negara ini melebihi paras sejuta kepada 1,013,438 kes.

Selangor turut mengalami kenaikan ketara apabila mencatat 8,500 kes berbanding 7,351 semalam. Kuala Lumpur dan Kedah juga menunjukkan peningkatan besar kepada masing-masing 2,045 dan 1,216 kes.


Pengarang :