Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

20 daripada 21 kluster baharu libat tempat kerja, komuniti

SHAH ALAM, 6 JULAI: Sebanyak 20 daripada 21 kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini melibatkan tempat kerja dan komuniti.

Ketua pengarah kesihatan berkata tempat kerja merekodkan 11 kluster manakala sembilan daripada komuniti dan satu melibatkan pusat tahanan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya memaklumkan kluster tempat kerja yang dilaporkan mencatat kes tinggi di tapak pembinaan di Jalan Damanlela 2, Kuala Lumpur dengan 630 kes positif daripada 2,225 disaring.

Manakala bagi komuniti pula kluster Sungai Sengkabang, Sarawak mencatat kes tinggi menerusi 210 saringan dan 58 didapati positif.

Bagi kluster pusat tahanan di Jalan Sultan Alam Shah, Banting, Selangor sebanyak 13 jangkitan dikesan daripada 30 individu yang menjalani ujian.

Sebanyak 7,654 kes harian Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dan angka itu antara tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh sebulan.

Kali terakhir kes paras 7,000 dilaporkan pada 4 Jun dengan 7,748 kes.

Rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan jangkitan di Selangor melonjak kepada 3,260 kes, naik 998 berbanding semalam.


Pengarang :