Seorang warga emas orang kelainan upaya (OKU) bergambar selepas menerima dos pertama vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Telok Datok, Banting pada 10 Julai 2021. Foto Facebook Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

200 penduduk terima dos pertama vaksin di Klinik Kesihatan Telok Datok

SHAH ALAM, 12 JULAI: Seramai 200 individu menjadi kumpulan pertama menerima suntikan pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Telok Datok, Banting kelmarin.

Pegawai kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat berkata mereka terdiri daripada warga emas dan pesakit kronik yang menerima rawatan di klinik terbabit.

Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim menjelaskan jumlah itu termasuk individu yang tinggal sekitar klinik berkenaan yang belum mendapat tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera.

“Kesemua mereka menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac di bawah program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK). Mereka akan menerima dos kedua suntikan dalam tempoh tiga minggu lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, beliau berkata pemberian vaksin akan diperluas kepada penduduk sekitar Sungai Lang dijangka pada awal Ogos.

“Dengan situasi Covid-19 ketika ini, kesedaran orang ramai untuk mendapatkan vaksin amat tinggi dan berharap mampu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Kuala Langat divaksin,” katanya.

 


Pengarang :