Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat (tengah) menyampaikan bantuan makanan asas kepada seorang penduduk di Batu Arang, Rawang pada 3 Julai 2021. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

2,000 keluarga dapat manfaat program bantuan makanan Rawang

SHAH ALAM, 10 JULAI: Program bantuan makanan dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berjaya memanfaatkan 2,000 keluarga terjejas.

Wakil rakyatnya berkata sebanyak RM100,000 dibelanjakan untuk agihan bahan keperluan asas seperti beras, tepung, bihun, minyak masak, kicap dan telur bagi meringankan beban masyarakat.

“Sejak 1 Jun lalu, kami di pusat khidmat masyarakat memang bekerja keras untuk mengesan mana-mana keluarga terkesan Covid-19 termasuk yang mengibarkan bendera putih.

“Saya berterima kasih kepada pihak terlibat dalam kempen bantuan dan usaha akan diteruskan supaya lebih ramai mendapat manfaat,” kata Chua Wei Kiat ketika dihubungi SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Kii (dua, kanan) bersama penerima bantuan makanan di Pusat Sokongan Semangat Balakong pada 7 Julai 2021. Foto Facebook Wong Siew Kii

Sementara itu di DUN Balakong, Ahli Dewan Negeri (ADN)nya Wong Siew Kii berkata pihaknya mengagihkan bantuan makanan kepada 550 keluarga sejak kempen Sokongan Semangat Balakong dimulakan pada 7 Julai.

Menurutnya, dalam tempoh tiga hari sebanyak 914 bekalan makanan panas diedarkan kepada golongan kurang berkemampuan bagi mengelak kelaparan.

“Kita akan terus menyalurkan bantuan sama kepada mereka terjejas dengan mengutamakan keluarga orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas,” katanya.


Pengarang :