Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal kawasan pangsapuri susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Merpati A, Pandan Indah, Ampang pada 27 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

2,000 penduduk DUN Pandan Indah daftar vaksin Selangor

AMPANG, 28 JULAI: Seramai 2,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah telah daftar untuk menerima Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti setakat ini.

Wakil rakyat Ir Izham Hashim berkata pihaknya masih mengumpul individu layak terima manfaat tersebut bagi memenuhkan kuota sebanyak 2,600 yang diagih Kerajaan Negeri.

Menurut beliau program suntikan berkenaan akan dilaksana selama dua hari pada 1 dan 2 Ogos ini.

Wakil rakyat DUN Pandan Indah Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika Program Agihan Bakul Makanan PKPS di Pangsapuri Merpati A, Pandan Indah, Ampang pada 27 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita juga meminta kerjasama semua pihak termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan ketua kampung untuk menguar-uarkan program ini agar individu belum divaksin dapat terima suntikan pelalian itu segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program sumbangan makanan asas kepada penduduk perumahan Pangsapuri Merpati A yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semalam.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Usaha Kerajaan Negeri menerusi Selvax bagi mempercepat imuniti kelompok itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman sesawang https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :