Sebahagian penduduk beratur sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Taman Murni, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 9 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDANASIONAL

202 penduduk Taman Murni Sepang positif Covid-19

SEPANG, 9 JULAI: Seramai 202 penduduk Taman Murni di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bersasar dijangkiti Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah berkenaan direkod daripada 1,600 penduduk yang selesai menjalani saringan.

“Kawasan ini melibatkan 492 premis perniagaan dan rumah dengan 1,600 penduduk tinggal dan bermaustatin di sini. Keputusan membuat PKPD selepas didapati terdapat 114 kes positif,” katanya.

Sebelum itu, beliau meninjau pelaksanaan PKPD dan proses suntikan vaksin kepada penduduk taman terbabit hari ini.

Amirudin berkata keputusan mengetatkan kawalan susulan penduduk kerap mengadakan pertemuan sosial yang dikhuatiri boleh mencetus rebakan kes.

Penduduk Taman Murni dikenakan PKPD selama 14 hari sejak 30 Jun selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 36 kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Langkah itu bagi memudahkan aktiviti saringan kontak, pengasingan kes dan kontak rapat selain menyekat pergerakan keluar masuk orang ramai dari kawasan terbabit.

 

 


Pengarang :