Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau ke program pemberian vaksin Selangor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 21 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

250,000 bekalan baharu vaksin tingkat keupayaan Selvax

SHAH ALAM, 22 JULAI: Bekalan 250,000 vaksin Covid-19 diterima berperingkat mulai esok membolehkan lebih ramai mendapat pelalian itu menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

EXCO perindustrian berkata suntikan kepada masyarakat terutama pekerja industri akan dipertingkat berikutan ketika ini hanya sekitar 4,000 penerima sehari sedangkan Selvax berupaya memberi 47,000 suntikan sehari.

“Usaha ini akan diperhebat apabila bekalan baharu diterima, mengikut persetujuan diberikan kerajaan pusat sebanyak 250,000 dos vaksin akan dibekalkan secara berperingkat mulai 23 Julai (esok).

“Setiap penghantaran membabitkan kira-kira 83,000 dos, kita yakin dapat memberikan semua vaksin itu menjelang Ogos,” kata Dato’ Teng Chang Kim ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya seramai 13,811 penerima lengkap dua dos suntikan vaksin manakala 80,182 mendapat satu dos di bawah Selvax Industri dan Komuniti sejak 7 Julai sehingga semalam.

Jelasnya, daripada jumlah itu 12,507 orang daripada Selvax Industri dan 1,304 individu Selvax Komuniti.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman web https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :