Kampus UiTM Shah Alam. Foto Facebook Universiti Teknologi MARA
AGENDANASIONAL

259,000 pelajar lepasan SPM dapat tawaran ke IPTA

BATU PAHAT, 16 JULAI: Kira-kira 259,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam bagi sesi akademik 2021/2022.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Dr Husaini Omar berkata sesi akademik 2021/2022 akan bermula September depan.

Katanya, bagi pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan dalam tempoh 11 hari mulai hari ini hingga 26 Julai.

“Kebiasaannya, tawaran ini diberikan berpadanan dengan keputusan yang diperolehi, semakan surat tawaran boleh dilakukan melalui sistem UPUOnline dan surat tawaran boleh dicetak mulai esok hingga 26 Julai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan keputusan permohonan kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam boleh disemak secara dalam talian bermula hari ini.

Mengulas mengenai PPV Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Husaini berkata sehingga kini, sebanyak 40 PPV IPT telah beroperasi di seluruh negara dalam usaha membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.

“Di PPV UTHM kita mengadakan kerjasama dengan Hospital Pakar Putra Batu Pahat dan ia melibatkan sukarelawan daripada UTHM. Selain itu, pusat vaksin ini mampu memberi vaksin kepada 3,000 penerima setiap hari,” katanya.

PPV UTHM beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam mulai semalam hingga 15 Nov ini.

-BERNAMA


Pengarang :