Seorang penerima vaksin Covid-19 menunggu giliran untuk disuntik semasa program Vaksin Selangor (Selvax) DUN Seri Serdang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place Bukit Jalil pada 28 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

2,600 penduduk, warga asing di Seri Serdang daftar Selvax Komuniti

BUKIT JALIL, 28 JULAI: Seramai 2,600 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang mendaftar Program Selangor Vaksin (Selvax) Komuniti anjuran Kerajaan Negeri.

Penyelaras Selcare Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place berkata jumlah itu melengkapkan kuota DUN berkenaan melibatkan 1,100 individu pada peringkat pertama semalam manakala 1,500 orang pada hari ini.

Menurut Nur Zulhafizah Zakaria daripada jumlah berkenaan kira-kira 200 warga asing yang menpunyai permit sah turut menerima manfaat program percuma itu.

“Dengan langkah ini matlamat membentuk imuniti kelompok dapat dicapai lebih cepat sekali gus mengekang jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui.

Nur Zulhafizah berkata program selama dua hari itu berjalan lancar walaupun menerima penyertaan yang tinggi hasil kerjasama sukarelawan pihak DUN dengan petugas Selcare.

“Urusan pendaftaran dikendalikan pihak DUN manakala Selcare mengendalikan proses vaksinasi peserta,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax Industri dan Selvax Komuniti di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkap serta mempercepatkan proses suntikan pelalian rakyat.

Program Selvax Komuniti itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk negeri ini yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :