Selangorkini
ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzan meninjau proses suntikan pelalian Covid-19 menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan, Gombak pada 26 Julai 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

2,600 warga Taman Templer dapat dos pertama vaksin, tumpu warga emas

GOMBAK, 26 JULAI: Seramai 2,600 penduduk sekitar Taman Templer akan menerima suntikan pelalian dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

Wakil rakyatnya berkata suntikan mula diberi hari ini hingga esok dengan menumpukan warga emas selain penjaja kecil, pekerja dalam sektor e-panggilan dan individu kerap bertemu dengan masyarakat.

“Senarai nama peserta dikumpul oleh ketua kampung dan ahli majlis dua minggu sebelum program ini bermula. Kita memastikan kesemua mereka yang layak belum menerima tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

“Sehingga jam 1 tengah hari, kira-kira 60 peratus daripada 1,300 yang diberi tarikh hari ini hadir menerima vaksin Sinovac,” kata Mohd Sany Hamzan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sri Siantan di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Sany mengingatkan masyarakat supaya peka dengan waktu janji temu diberikan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Ini (Covid-19) adalah soal hidup dan mati, sebab itu Kerajaan Selangor melaksanakan program vaksin sebagai usaha untuk menghapuskan serta mengurangkan gejala wabak.

“Saya menyeru orang ramai khususnya yang diberi kesempatan untuk hadir bagi melindungi diri dan keluarga,” katanya sambil menyeru masyarakat tidak sesekali alpa dengan tatacara operasi piawai (SOP) meskipun sudah divaksin.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :