Pesara, Abdul Hai Ismail Pakir Muhiddin Shah, 75, (dua, kiri) dan isteri Endot Hairudin, 72, (kiri) menyambut ketibaan sanak-saudara sempena Aidilfitri yang disambut dalam norma baharu pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

267 kluster raya punca 17,106 orang positif, 105 mati

SHAH ALAM, 17 JULAI: Gara-gara sambutan Aidilfitri dan Gawai, 267 kluster tercetus dengan 17,106 orang positif Covid-19.

Daripada jumlah itu, kata ketua pengarah kesihatan, seramai 105 telah meninggal dunia dan 42 orang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes itu merebak akibat kunjung-mengunjung.

“Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan perayaan Aidilfitri dan Hari Gawai, aktiviti berkunjung di kawasan kejiranan serta majlis pengebumian.

“Malah, beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri yang turut mempunyai tujuan sama iaitu menyambut perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya mengambil iktibar akibat peningkatan kes dan tidak mengulangi kesilapan sama pada sambutan Aidiladha Selasa ini.

“Orang ramai diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih berkuat kuasa. Begitu juga amalan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan juga tidak dibenarkan.

“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana Covid-19,” katanya.


Pengarang :