AGENDANASIONAL

30 warga asing, seorang wanita tempatan ditahan hadiri jamuan raya

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Polis menahan 30 warga asing dan seorang wanita tempatan yang menghadiri satu jamuan Hari Raya Aidiladha di sebuah rumah di Taman Selayang Utama, Batu Caves hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 29 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 10 pagi selepas pihaknya menerima maklumat mereka mengadakan jamuan di rumah berkenaan.

“Daripada 30 warga asing ini, empat orang mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala enam memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh dan 20 lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Mereka didapati telah melakukan kesalahan gagal mematuhi SOP dengan berkumpul dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal, memiliki PLKS yang tamat tempoh dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan lanjut dan semua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi permohonan reman esok.

Zainal Mohamed berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

Beliau berkata wanita tempatan yang ditahan itu pula dikenakan kompaun RM4,000 di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebak ke jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :