Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

3,000 lagi penduduk Mentari Court divaksin hari ini

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seramai 3,000 lagi penduduk Pangsapuri Mentari Court di PJS 8 akan menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

Suntikan pelalian jenis Pfizer-BioNtech kepada hampir 9,000 penduduk dijangka selesai pada Khamis, kata pegawai daerah Petaling.

“Dengan jangkaan 3,000 sehari ini kita jangka dapat selesaikan pemberian vaksin pada Khamis ini dengan membabitkan hampir 9,000 penduduk,” kata Dato’ Johary Anuar ketika dihubungi.

Jelasnya, seramai 996 penduduk divaksin setakat semalam, kurang berbanding sasaran awal 1,553 orang berikutan isu teknikal, namun akan diselesaikan hari ini.

Sebahagian penghuni membuat pendaftaran sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Surau Al-Mustaqim, Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Johary berkata proses suntikan turut mendapat kerjasama baik daripada penduduk, malah ramai yang tidak sabar menanti giliran.

Sementara itu, beliau berkata penduduk yang positif Covid-19 akan tetap menerima vaksin selepas mereka disahkan pulih.

“Setakat ini, daripada 2,378 individu yang disaring seramai 254 positif… jika semua disaring kita anggar mungkin dalam 500 positif tetapi ini jangkaan sahaja.

“Mereka ini tidak akan divaksin di Mentari Court sebaliknya akan masuk dalam senarai seperti kebiasaannya,” katanya.

Penduduk Mentari Court menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bermula 3 Julai, 34 mukim dalam lapan daerah Selangor dikenakan PKPD selama 14 hari bagi membendung Covid-19. Tempoh itu bakal dilanjut jika penularan wabak gagal ditangani.


Pengarang :