Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

40 kakitangan PNSB terima suntikan di bawah Program Vaksin Selangor

SHAH ALAM, 10 JULAI: Seramai 40 kakitangan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menerima suntikan dos pertama menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata kumpulan berkenaan mendapat vaksin jenis Sinovac di Pusat Pemberin Vaksin (PPV) Evo Mall, Bandar Baru Bangi.

“Jumlah penerima ini antara 40 peratus daripada keseluruhan kakitangan yang mendaftar dengan Selvax Industri. Dijangkakan dos kedua diterima pada hujung bulan.

“Sebahagian besar kakitangan lain pula telah mendapat vaksin dan tarikh janji temu melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata PNSB menyokong usaha dilakukan Kerajaan Negeri kerana syarikat itu mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan pekerja ketika pandemik menular.

“Program ini bukan hanya mempercepatkan kadar vaksinasi kakitangan tetapi membantu mencapai imuniti kelompok. Kami pasti lebih banyak syarikat lain yang menyokong inisiatif program ini,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.


Pengarang :