Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

40 varian bahaya Delta dikesan daripada hampir 400 VOC

PUTRAJAYA, 5 JULAI: Sebanyak 584 kes Covid-19 di Malaysia dikesan akibat varian baharu yang melibatkan jangkitan meluas dan pantas serta menular menerusi bawaan udara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, varian baharu itu dikesan menerusi beberapa tindakan pencegahan bagi ancaman varian Delta (B1617.2) termasuk jujukan genom susulan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa negara tertentu terancam dengan varian baharu itu.

“Kami dapati memang ada ancaman terhadap varian baharu di negara kita,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin, di sini hari ini.

Daripada 584 kes yang direkodkan itu, 40 kes adalah daripada varian Delta yang dikatakan ganas, varian Beta (B.1.351) sebanyak 136 kes, varian Alpha (B117) sebanyak 10 kes, dua kes melibatkan varian B1525, empat kes B161.7.14 dan varian membimbangkan (VOC) sebanyak 392 kes, katanya.

Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan kegiatan pencegahan dan kawalan berterusan antaranya berdasarkan kadar insiden tinggi dalam satu kawasan, kes menular dengan cepat dan membabitkan kematian.

“Kami akan buat jujukan genom dan dari situ kami akan tahu sama ada seorang individu itu mendapat jangkitan daripada varian baharu,” katanya.

“Ia ada kaitan dengan vaksin diberikan. Kami sudah maklumkan dua dos adalah dasar perlu dilaksanakan di negara ini supaya imunisasi dan ketahanan daripada varian baharu ini dicapai dengan baik,” tambah Dr Adham.

Mengenai Tabung Bantuan Mudarat Vaksin Covid-19, Dr Adham berkata masih belum ada dana daripada tabung berkenaan digunakan setakat ini.

Menurutnya, sebanyak 18.6 respons kendiri berhubung kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) diterima melalui aplikasi Mysejahtera bagi setiap 1,000 dos vaksin diberikan sejak bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kesakitan di tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan antara kesan sampingan yang sering dialami penerima vaksin,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :