Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

400 petugas KDEBWM di lapangan terima vaksin Selangor

SHAH ALAM 5 JULAI: Seramai 400 petugas KDEB Waste Management (KDEBWM) terutama di lapangan sudah menerima dos pertama vaksin melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata suntikan pelalian itu diterima pada 27 Jun manakala dos kedua pada 18 Julai.

“Petugas barisan hadapan KDEBWM terutama penyelia kawasan yang mewakili 70 peratus warga kerja (termasuk kakitangan anak syarikat Hebat Abadi Sdn Bhd) antara individu terawal menerima vaksin bawah Selvax Industri.

“Kita mahu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada petugas yang sentiasa berdepan risiko dijangkiti wabak ketika bertugas di lapangan,” katanya ketika dihubungi.

Mahfuzah berkata pihaknya juga sedang menguruskan fasa kedua vaksin kepada kru dan pemandu sub kontraktor pembersihan membabitkan 10,500 orang.

“Mereka ini menjadi keutamaan pengurusan kerana bekerja secara langsung di lapangan,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.


Pengarang :