Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) meninjau program pemberian Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 21 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

4,600 warga Sungai Tua, Gombak Setia lengkap dua dos Jumaat ini

GOMBAK, 21 JULAI: Seramai 4,600 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan Gombak Setia menerima suntikan dos kedua di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan.

Dato’ Menteri Besar berkata suntikan pelalian Covid-19 bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti diadakan secara berperingkat mulai hari ini dan dijangka selesai pada 23 Julai.

“Penduduk di kedua-dua kawasan ini antara yang terawal dapat vaksin dos pertama tempoh hari dan hari ini kira-kira 1,600 individu akan melengkapkan dos kedua mereka.

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik dan berlangsung dengan tenang. Khemah disusun di luar dewan untuk mereka duduk berbanding perlu berbaris panjang,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari ketika meninjau PPV berkenaan.

Beliau yang juga wakil rakyat Sungai Tua menambah program kendalian Selgate Healthcare dijangka rancak mulai 26 Julai dengan lebih ramai menerima suntikan bagi mencapai imuniti kelompok.

“Kita berharap semua berjalan lancar kerana pelaksanaannya melibatkan komuniti dan pekerja industri seterusnya melonjakkan kapasiti dos di Lembah Klang sebagaimana diumum kerajaan persekutuan,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala Selvax Komuniti bakal memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :