Dato’ Seri Amirudin Shari membuat pengumuman khas Program Vaksin Selangor (Selvax) di Facebook Media Selangor pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

52,374 dos vaksin Selangor diberikan sehingga kelmarin

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak 52,374 dos vaksin diberikan menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) membabitkan komuniti dan industri sehingga 11 Julai.

Berdasarkan data dikeluarkan Selcare, sebanyak 39,681 dos diberikan kepada Selvax industri serta 12,693 dos untuk Selvax komuniti.

Kenyataan berhubung Laporan Kemajuan Selvax itu dikongsi EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menerusi Facebook hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Manakala Selvax Industri merupakan program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja melibatkan dua juta dos.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

 


Pengarang :