Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

6,000 permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin diterima

HULU LANGAT, 19 JULAI: Kira-kira 6,000 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab direkodkan sehingga semalam.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata daripada jumlah itu, dianggar lebih 5,000 diluluskan sejak dibuka 20 Jun lalu.

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan dalam tempoh sama antara 300 hingga 400 individu pelbagai peringkat usia menebus rebat untuk ke PPV sekitar Lembah Klang.

“Kebanyakan pemohon adalah lingkungan 20 hingga 40 tahun memandangkan mereka celik teknologi dan memiliki akaun Grab.

“Kita berharap seluruh rakyat Selangor yang layak supaya memanfaatkan inisiatif dijangka berakhir 30 September ini. Insya-Allah permohonan cukup syarat akan diluluskan,” katanya selepas menyerahkan pek makanan asas kepada penghuni Pangsapuri Ghazal Balakong di sini hari ini.

Ahmad Azri berkata program tersebut menarik perhatian umum apabila permohonan dari mereka yang tidak layak seperti dari luar Selangor, ekspatriat dan pelajar antarabangsa juga diterima tetapi terpaksa ditolak.

Mereka yang menerima tarikh vaksin boleh memohon dengan mendaftar di www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.


Pengarang :