Seorang penerima vaksin Covid-19 menunggu giliran untuk disuntik semasa program Vaksin Selangor (Selvax) DUN Seri Serdang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place Bukit Jalil pada 28 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

6,200 syarikat minat beli vaksin negeri untuk pekerja

SHAH ALAM 30 JULAI: Sebanyak 6,200 syarikat berdaftar untuk mendapat suntikan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata kebanyakan syarikat terbabit terdiri daripada sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Keseluruhannya 134,837 dos suntikan vaksin diberikan menerusi program Selvax iaitu 102,089 membabitkan Selvax Industri manakala 32,748 adalah Selvax Komuniti.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan usaha kerajaan merancakkan proses vaksinasi tidak kira sama ada melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mahupun Selvax,” katanya ketika dihubungi.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Kos keseluruhan program Selvax Industri yang dipersetujui Kerajaan Selangor bagi syarikat atau majikan adalah sebanyak RM350 bagi dua dos suntikan.

Syarikat yang ingin berdaftar boleh berbuat demikian melalui laman sesawang https;//vax.selangkah.my atau hubungi pusat panggilan 1-800-22-6600.


Pengarang :