Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bercakap ketika sidang media program Vaksin Selangor Industri secara maya pada 5 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

62,000 syarikat minat beli vaksin negeri, suntik percuma untuk pekerja

SHAH ALAM, 5 JULAI: Lebih 62,000 syarikat membabitkan 2.9 juta pekerja mendaftar untuk mendapat bekalan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

EXCO perindustrian berkata sektor perkilangan dan perkhidmatan akan diberi keutamaan bagi menerima vaksin berkenaan berikutan hanya dua juta dos disediakan bagi tujuan itu.

Dato’ Teng Chang Khim menjelaskan tumpuan turut diberikan kepada syarikat yang mempunyai ramai pekerja dan perusahaan kecil dan sederhana yang menggajikan kurang 200 kakitangan.

“Antara fokus utama Selvax Industri adalah syarikat berdaftar dan beroperasi di Selangor atau Lembah Klang selain syarikat beroperasi dalam 21 sektor perlu,” katanya pada sidang media maya hari ini, yang turut disertai EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta
pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Selain itu, Chang Khim berkata kira-kira 13,000 pekerja industri sudah menerima vaksin dalam fasa awal dan suntikan akan diberikan secara konsisten mulai 25 Julai sehingga Oktober depan.

Beliau juga mengingatkan majikan supaya tidak mengenakan bayaran kepada pekerja dan tidak menjual slot janji temu kepada syarikat atau individu lain.

“Kos keseluruhan program ini yang telah dipersetujui Kerajaan Selangor bagi syarikat atau majikan adalah sebanyak RM350 bagi dua dos suntikan,” katanya.

Syarikat yang ingin berdaftar boleh berbuat demikian melalui laman sesawang https;//vax.selangkah.my atau hubungi pusat panggilan 1-800-22-6600.

Berikut 21 sektor perlu yang diutamakan untuk program Selvax Industri:

1. Air, elektrik dan tenaga
2. Kesihatan
3. Makanan dan minuman
4. Kilang bahan makanan, minuman dan keperluan asas harian
5. Veterinar dan keperluan makanan haiwan
6. Barangan keperluan harian atau kendiri
7. Keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
8. Pengangkutan (darat, air dan udara)
9. Perkhidmatan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang
10. Hotel dan penginapan (bagi tujuan kuarantin)
11. Perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal
12. Industri bahan api dan pelincir
13. Komunikasi (media, telekomunikasi dan internet)
14. Pembersihan, pengurusan sisa pepejal dan pembentungan
15. E-dagang dan teknologi maklumat
16. Pembaikan kenderaan serta alat ganti berkaitan
17. Penjualan perkakasan, peralatan serta alat ganti
18. Perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan
19. Pembinaan, penyelenggaraan, pembaikan dan pendawaian bersifat kritikal
20. Perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan berkaitan
21. Perundangan dan kehakiman


Pengarang :