Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura bernilai RM 5.05 juta kepada EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim ketika program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMANASIONALSELANGOR

670 lembu, 1,000 kambing untuk sumbangan korban sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 7 JULAI: Sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing diperuntuk Kerajaan Selangor bagi program Sumbangan Korban Negeri Selangor pada Aidiladha kali ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berjumlah RM5.05 juta itu ditaja sembilan anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Ada sedikit perbezaan pada tahun ini, jika sebelum ini kita peruntuk 1,200 ekor lembu kali ini pula sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing.

“Semua 450 masjid di Selangor masing-masing akan menerima sumbangan seekor lembu dan kambing,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahudidin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Lembu dan kambing korban itu juga akan diedar kepada Dato’ Menteri Besar, Speaker, EXCO, Timbalan Speaker, Ahli Dewan Negeri, Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Penyelaras Parlimen.

Selain itu Dato’ Menteri Besar berkata tatacara operasi piawai (SOP) ibadah korban akan dimaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam tempoh terdekat.

“Saya telah meneliti sebahagiannya tetapi keputusan terakhir adalah bidang kuasa Jais khususnya dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

Syarikat Kerajaan Negeri yang menyumbang adalah Perbadanan Kemajuan Pertanian (PKPS), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Worldwide Holdings Berhad (WHB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) dan KDEB Waste Management (KWM).


Pengarang :